"Minum! Minumlah sepuas-puasnya! Aku belanja kauorang semua!"
Dan ketawa Andrew dan Johnson pun berderai, bertingkah-tingkah dengan suara botol yang berkerincingan. Sebotol yang baru dibuka oleh Andrew menghadiahkan busa-busa putih yang memercik penuh ke atas meja mereka yang sedia berselerak.
"Kau memang baik dan best, Haikal ... macam malaikat!" Tawa Johnson menjadi besar tetapi tetap tenggelam di dalam bunyi muzik latar Bourbon Bar yang bingit. Syiling pub itu sedia terpercik dengan lampu disko yang rencam warnanya seperti menghadiahkan rupa syurga kepada pengunjung-pengunjungnya.
Johnson dan Andrew adalah dua teman baik Haikal, malahan mereka sekelas di Australian National University dalam Business and Admistration Studies. Dan, antara mereka bertiga punya persamaan; kacak dan kaki perempuan! Satu universiti mengenali mereka bertiga, malahan, Playboy Canberra!
Oh ya, Johnson dan Andrew adalah peneman tetap kepada Haikal pada setiap malam Sabtu sebegini, samada di pub-pub di Manuka, atau Belconnen, atau kadang-kadang malam Sabtu begini mereka pernah sahaja turun berdansa hingga ke Sdyney yang jaraknya tiga jam perjalanan. Tetapi, selalunya mereka bertiga akan ke sini, Bourbon Bar di tengah-tengah City of Canberra. Mereka tetap bertiga, cuma pasangan sahaja berubah-rubah. Kadang-kadang gadis Australia, kadang-kadang Jepun, atau China, malahan Afrika pun pernah mereka usung ke sini.
"Malaikat?" Haikal menjeling Jennifer yang didakap akrab.
"Ya, akulah malaikat pemberi rezeki!" Tawa Haikal terpecah. Gegak Johnson semakin gegar dan suara Andrew yang berambut tegak bagai balung ayam terserlah bagai gema guruh. Dan, mereka yang asyik berdansa di depan pentas seluas dua gelanggang badminton seperti tidak terganggu langsung dengan 'malaikat' bertiga itu. Sesekali Jennifer menambah bumbu dalam tawa panjang mereka. Jennifer tawa mengekek pabila dicium dengan rakus oleh Hakimi.
"Cuma aku harap kau tak jadi malaikat pencabut nyawa, Haikal!" Sampuk Andrew, lalu tawa mereka menjadi gempa yang menggegar pub Bourbon Bar.
Ah, malam-malam Sabtu sebegini di tengah bandaraya Canberra; pub dan disko ibarat syurga yang mengirimkan warna-warna bahagia kepada pengunjungnya. Bermula di kepala bangunan Fletcher Jones sehinggalah ke convience shop Quick&Go, malam-malam minggu sebegini adalah siang yang panjang kepada mereka. Kereta-kereta pengunjung disco, pub dan bar tersusun penuh seperti hari-hari bekerja sahaja rupanya. Cukup meriah dan hidup amat malam sabtu begini!
Northbourne Avenue; jalanraya yang menghubungkan antara suburb utara dan selatan di Canberra, Australia ini tetap hidup dengan kereta yang berderai-derai meskipun usia kian melewati angka dua belas. Sesekali cahaya lampu dari kenderaan yang simpang-menyimpang di luar pub singgah ke dalam yang sedia bergemerlapan dengan lampu neon.
"Aku dah mengantuklah, Haikal!"
"Hey Jennifer, malam masih muda!" Johnson menghabiskan sisa carlberg di dalam gelas runcing di depannya. Seorang wanita muda pelayan bar dengan skirt separas paha kemudiannya menghampiri meja mereka setelah digamit datang oleh Johnson,"tambah lagi dua botol. Botol besar, tau ... sebesar dada awak!" Dan Johnson ketawa nakal. Gadis pelayan hanya kelihatan tersenyum, manja.
"Lagipun kan malam nih birthday Haikal ... kita minum sampai pagi." Andrew, matanya yang sudah merah menyala kemudian gelak berdekah-dekah. Dia cuba mengapai hidung Jennifer yang mancung, tetapi sempat dielak oleh perempuan yang genit itu dan kemudiannya Jennifer rebah dalam dakapan Haikal.
"Sayang, sekejap lagi kita balik, ok?" Haikal mengucup bibir delima Jennifer untuk beberapa ketika dan gadis itu tercungap-cungap menahan nafas. Pengunjung pub tiba-tiba bersorak meriah apabila penyanyi wanita yang baru muncul dari balik tirai pentas hanya mengenakan sehelai pakaian nipis yang menampakkan tubuhnya yang menggiurkan. Riuh!
Suasana Bourbon Bar di laluan London CCT yang betul-betul di tengah City of Canberra yang setentang dengan kawasan parkir kereta yang luas itu kemudiannya diam seketika. Para pengunjung leka menikmati suara lunak penyanyi genit berpakaian seksi yang mendendangkan lagu Love Don't Cost a Thing yang dipopularkan oleh Jennifer Lopez. Masing-masing ghalit. Beberapa pemuda yang duduk-duduk pada meja hadapan kelihatan melopong bernafsu memandang penyanyi genit dengan buah dada besar dan tubuh pejal itu.
"Keperanggg!!!" Suasana gegar tiba-tiba. Penyanyi genit melompat, buah dadanya meloncat dan tubuh mungilnya sudah terselindung di balik tirai pentas. Dia kelihatan terjenguk-jenguk, debarnya jadi beribu-ribu dan tergigil lututnya ketakutan. Bunyi botol pecah dan kelihatan dua lelaki bertengkar, betul-betul di meja paling hadapan. Seorang wanita cantik dengan subang bergayut yang mungkin berusia 30-an kelihatan ketakutan dan memencilkan diri di penjuru meja bulat itu. Kelihatan dua lelaki berbadan sasa bercakaran dan saling memaki hamun. Suasana jadi gempar tiba-tiba. Damai telah dihalau pergi dengan penuh keterpaksaan. Dan dengan botol arak yang dipecahkan pada tangan lelaki bertubuh gempal dan sedia diacukan sebagai senjata berlawan, suasana pub cukup mendebarkan. Beberapa pemuda di meja-meja lain kelihatan terpinga-pinga dan beberapa orang cuba memenangkan lelaki itu. Kedua-duanya kelihatan berdegil.
Dan pada kiraaan seminit kemudiannya, kelihatan dua orang pegawai polis yang lengkap beruniform yang kebetulan meronda di luar laluan London CCT itu datang membubarkan dua lelaki yang bercakaran itu. Setelah ditenangkan (digertak!) oleh polis berdua itu, lelaki yang mengenakan pakaian kulit hitam dan berjambang kemas kelihatan meninggalkan pub itu sambil mulutnya terus memaki-hamun dan mencerca-cerca. Suasana reda seketika, penyanyi genit di atas pentas yang terhenti nyanyiannya tadi kembali melagukan iramanya yang mengasyikkan sambil melenggukkan tubuhnya yang menggiurkan.
"Haikal ... tu Mira, kan?" bisik Andrew seraya pandangan mereka tumpah pada dua tubuh wanita yang baru sahaja lolos ke dalam pub, sambil daun pintu yang terkuak menghantarkan butir-butir kesejukan musim dingin yang mengigit dari luar pub.
"Sayangku Mira!" Laung Johnson tanpa mempedulikan orang lain, dan Mira; pelajar Australia National University itu kelihatan menuju kepada mereka. Teman yang dikepit tangannya juga ikut membontoti Mira kepada meja Haikal, Johnson, Andrew dan Jennifer. Kedengaran bunyi siul-siulan nakal dari beberapa meja tatkala Mira dan gadis muda bersamanya melintas meja-meja itu untuk sampai ke meja mereka berempat.
Mata Haikal terus sahaja tertancap kepada gadis yang ikut bersama dengan Mira - aduh, matanya, hidungnya, gerak bibirnya, ah, gadis ini bidadari syurga! Pandangan Mira menikam tajam, Jennifer menjeling bagai mahu terbersil biji matanya dan Haikal tergagap-gagap, "lama tak nampak kau ke sini, Mira."
"Aku sibuk sikit!" Balas Mira sambil tangannya bersalamanan dengan Andrew dan Johnson, dan akhir sekali Jennifer yang kelihatan letih benar. Bau arak tersebar dari mulutnya yang terhias dengan gincu ungu muda.
"Sibuk?" Dan Haikal ketawa, mengejek. Hanya Haikal yang faham erti tawa anehnya dan bagai menyimpan maksud lain yang lebih bermakna. Matanya kemudian kembali singgah kepada gadis ayu yang ikut bersama dengan Mira,"tak nak kenalkan kawan kau nih kepada kitaorang semua?" Mira terdiam seketika melayan tawa Haikal yang menikam itu. Mira sedar angin perseteruannya dengan Haikal, jantan buaya di depannya ini tak pernah henti bertiup, sejak lama, sejak beberapa detik yang telah lewat.
"Gadis cantik dari kayangan!" Tawa Johnson tiba-tiba hidup semula. Lensanya lama tak berkelip tatkala memandang gadis cantik yang bersama dengan Mira ini. Andrew hanya terdiam, terpaku, bagaikan tak percaya, oh betapa dalam dunia ini ada wanita yang secantik gadis ini, wanita yang dipinjam dari syurga!
Tanpa dipelawa kemudiannya gadis itu bersuara, "Katie, Katie Hayne!" Kemudian tangannya menyambut tangan-tangan nakal Johnson, Andrew dan Haikal yang kalut menyalaminya, kononnya sebagai tanda perkenalan. Lama tangan Haikal memaut tangan lembut milik Katie Hayne sembari pandangan mereka bertaut, hati mereka seperti mahu bersatu, saat itu juga. Ah, hampir sahaja Haikal terduduk tatkala menerima senyuman perkenalan dari gadis ayu (gadis ayu!) itu.
"Jantan sial!" Gumam Jennifer antara dengar dan tidak. Tajam dia merenung tangan Haikal yang bersatu dengan tangan Katie Hayne, seperti sahaja mahu tembus. Tetapi, jauh di hati terpencilnya Jennifer turut terpesona dengan gadis muda itu. Cemburu merajai naluri wanitanya!
Beberapa ketika kemudian Katie Hayne menyambut tangan Jennifer, ada pertembungan antara mereka. Sinar mata mereka berasakan, naluri wanita mereka berlaga, ada ombak berkucah, ada gelora yang tiba-tiba sahaja menggunung, "aku, Jennifer!" Dan sebuah senyuman yang terpaksa, sebuah senyuman yang bagaikan menghantar watikah peperangan menjadi milik gadis itu, Katie Hayne.
"Aku tak senang di sini! Ayuh kita ke sana Katie, " suara Mira tiba-tiba terlantun dan pantas sahaja dia mengaut pangkal lengan Katie Hayne yang masih terpaku dan kemudiannya berlalu dalam keterpaksaan. Pun, Katie Hayne masih sempat melontarkan senyum simpulnya kepada Haikal.
Haikal terkesima. Johnson dan Andrew menyimpan perasaan cemburu. Dan Jennifer masam mencuka.
Sunday, August 26, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment