"Maafkan aku sebab tak boleh berterusan menemani kau!"
"Tak apa, aku faham ... " Mira terbatuk-batuk. Walaupun begitu dia memaksa juga dirinya untuk tersenyum. Sesekali jemarinya meramas-ramas pucuk uban-ubun, terasa seperti melayang-layang pun, seperti dibawa terbang oleh angin yang bertiup lembut.
"Aku tahu kau sibuk dengan kerja, bukan?"
Katie Hayne hanya mampu tersenyum walaupun tampak hambar sekali, "makanlah lagi nasi air yang aku buat nih ..." Sambil-sambil itu jemarinya memicit-micit belakang Mira. Belas benar dia melihatkan keadaan Mira yang tak terurus itu. Sejak balik dari Bourbon Bar hujung minggu lepas Mira langsung sahaja terlantar tak keluar ke mana-mana ke kelas sekalipun. Batuknya sesekali kedengaran kasar dan cukup meresahkan. Begitulah keadaan Canberra terutama pada saat awal-awal perubahan musim daripada musim sejuk kepada musim bunga, mudah benar ditimpa demam. Kata orang - alah debunga!
Mira tersenyum, rasa bahagia yang sungguh-sungguh. Hanya Tuhan yang bisa mengerti akan kebahagiaannya saat itu, walaupun hakikatnya dibalut dengan baju tebal dan dilapis pula dengan gebar tebal, sedang batuk terpecah tanpa henti kadang-kadangnya, sejuk mengggigil, malahan, tetapi apabila sesekali dilawati oleh Katie Hayne, ah dia terlalu bahagia. Bahagia metah!
"Kau nih baik sangat Katie Hayne ..." Mira cuba menggapai kotak Dunhill yang masih bersisa sebatang atau dua batang lagi di dalam balutan emasnya.
Pantas tangan Katie Hayne merampasnya, "berhentilah merokok tu! Lagipun kau tu demam!" Tunak Katie Hayne merenung anak mata kuyu keletihan milik Mira yang sudah menolak gebar tebal ke hujung kaki. Mira hanya berdengus kecewa, pandangannya dilontar keluar dari pada bangunan asrama Unilodge menerusi cermin-cermin kepada di sisi kiri bilik studionya. Mentari Asar tampak berbalam-balam dan malu-malu, bandar Canberra seperti sahaja akan disirami oleh hujan pada bila-bila masa sahaja.
"Ada budak Haikal tu cari kau?" tukas Mira, anak matanya menjeling Katie Hayne yang tercatuk di hujung katil bujang yang berserabuk dengan sebuah bantal dan dua keling gebar tebal guna buat memerangkap haba demi segera menghilangkan demam. Mira dalam kepayahan memaksa dirinya untuk duduk melongo di atas bangku meja belajarnya, merenung ke laluan Marcus Clarke St yang makin galat dipenuhi oleh kenderaan, terutama kala-kala selepas habis waktu kerja begini.
Katie Hayne terdiam, "tak ada!" Katie Hayne mengumam perlahan.
"Betul tak ada?" Kali ini Mira menjegil tampang ayu Katie Hayne. Rona mata Mira menghampiri makna-makna cemburu yang tak mampu diselindungkan lagi.
"Makan nasi air nih ... sikit sangat kau makan tadi!" tanya Katie Hayne, cuba mengalih tajuk perbualan sebetulnya. Dia kurang selesa apabila diselidiki begitu oleh Mira - apa hak Mira untuk menyoal-siasat mengalahkan seorang penyiasat persendirian? Tetapi, rasa geram dan tidak puas hati Katie Hayne itu hanya berputar-putar di dalam benak akalnya dan tak terbebas di atas landasan bicaranya.
"Betul budak Haikal tu tak mencari kau?" Kali ini suara Mira lebih keras, ada ira-ira keras pada tampang sakitnya. Suaranya berbaur-baur dengan dengus-dengus keresahan yang tak mampu ditebak apa puncanya yang benar.
"Tak ada!" Katie Hayne manjawab malas. Matanya ikut merenung apa yang direnung oleh Mira, ke luar dari bangunan asrama Unilodge itu. Di depannya ada bangunan-bangunan yang sederhana tinggi yang membentuk lanskap bandar Canberra. Di atas sebahagian bumbung bangunan itu ada beberapa papan iklan yang besar, termasuk iklan syarikat penerbangan QANTAS yang besar-besar dan betul-betul di hadapan bangunan Unilodge.
"Bagus!" Kali ini barulah senyum bertaut pada bibir Mira yang pucat-lesu.
"Kau tak mau dah nasi air nih?" Katie Hayne membalas senyuman Mira meskipun hatinya sedikit memberontak apabila didesak begitu oleh Mira tadi. Apa hak Mira, jiwa Katie Hayne terus merusuh! Baru menjadi kawan sekadar sebulan dua sudah mahu mengongkong, jiwa Katie Hayne mendesah!
Mira yang membalas pertanyaan Katie Hayne dengan senyuman lebar dan geleng-geleng, "aku tak selera!" Tangannya pantas mencapai kotak Dunhill yang terlepas pandang oleh Katie Hayne dan lantas api merah pun menjadi meriah pada hujung sebatang Dunhill. Beberapa ketika kemudian kepulan asap putih tipis berhembusan pada sisi cermin terbuka di ruang luar yang terbebas untuk bersatu dengan kabus dan kabut.
"Lagi baik kau tak jumpa dengan jantan jahanam begitu, Katie!" Asap putih berkepul-kepul lagi, sambil mentari Canberra sudah menantikan hujan petang. Katie Hayne hanya terduduk di bucu katil Mira tanpa suara, tak ulasan hanya terdiam bungkam.
Tuesday, September 11, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment