"Jantan tak guna! Celaka kau, Haikal!" Dia meludah. Harapnya air ludahan itu akan lolos antara cermin kaca yang terbuka dan jatuh ke bawah, malangnya tersasar. Setompok ludahnya yang pekat tertampal pada kaca jernih.
Dia merenung ke luar dari biliknya di tingkat atas Graduate House. Ada kelam pada pepohon willow yang tumbuh subur dan dedaunnya bergayutan bagai tali dari langit di sepanjang Garran Road, Australian National University itu, "kau akan kalah kali nih, Haikal!" Dia ludah lagi, bersama ombak amarah, bersama gelombang dendam, dendam yang takkan padam, tak mungkin!
Di luar, bandar Canberra; kawasan yang menjadi ibu negara Australia dengan penghuninya yang hampir 300,000 itu tetap terjajah oleh kedinginan tetapi hatinya tetap panas dan mendidih, "Katie Hayne itu hak aku ... " Kemudian tawanya terpecah tiba-tiba. Dari anak matanya Menzies Library di sisi kawasan Mcdonald Place di tengah-tengah Australian National University itu tetap kelihatan gagah. Tetapi, bayang-bayang Haikal memenuhi pelupuk matanya tiba-tiba, dan kemudian susuk tubuh Jennifer yang bergurau-senda dan cumbu-cumbu dengan jantan jahanam itu datang seperti berwayang pada dinding Menzies Library. Entah, dia sebak tiba-tiba seperti ada angin lembut yang berhimpun penuh pada dadanya,
"Jennifer ... sepatutnya kau milik aku! Milik aku!" Dia mengelus-elus anak matanya, ada benih-benih air yang berkolam serta-merta, tak dipinta pun. Hatinya betul-betul sakit, mendidih tatkala memandang kemesraan Haikal dan Jennifer sebentar tadi, berbaur dengan perasaannya yang kecewa. Kalau dia tahu jantan jahanam itu ada di tengah-tengah Bourbon Bar, apatah lagi dengan Jennifer, sumpah dia takkan pergi ke meja jahanam itu, meja yang adanya jantan jahanam Haikal. Dia menyesal sungguh-sungguh. Dan kekesalan itu bertimbun-timbun bersama renungan tajam jantan jahanam Haikal kepada Katie Hayne yang dibawanya bersama. Tunak dan tak berkelip mata Haikal meratah wajah Katie Hayne yang manis lemak itu.
Tuss!! seketul air ludahnya yang berkahak terbenam ke dalam bakul sampah di hujung kaki, hatinya benar-benar menanah. Kerna lampu Bourbon Bar yang samar-samar, apatah lagi lampu aneka warna pada pucuk kepala yang berputar-putar dan memeningkan, dia hanya nampak Andrew melambai-lambai memanggil dia datang, dan lalu dia terpanggil ke meja jahanam itu. Dan memang jahanam, rupanya Haikal dan Jennifer ada sama dan membelakangkan pintu masuk. Ah, kalau dia tahu Haikal dan Jennifer (Jenniferku!) ada bersama dengan Andrew dibayar 1000 dolar pun takkan dia pergi. Dia benci, sungguh benci akan jantan jahanam Haikal itu,
"Celaka kau, Haikal! Jantan sial!!!" Tin coca-cola dengan separuh lagi isinya kemek di tangannya.
Angin musim dingin merusuh tiba-tiba, seperti nalurinya yang berdendam. Canberra yang di sebelah selatannya bermula dengan kawasan Gordon dan Banks dan utaranya berakhir dengan Wallaroo dan Jacka terasa bergegar tiba-tiba, seperti ada gempa, seperti ada letupan lahar yang berapi. Pepohon pollar yang tinggi tirus seperti pepohon pine kelihatan terketar-ketar dijerkah oleh angin awal pagi. Dia menutup sedikit birai tingkap yang terkuak. Dingin pun berkurang sedikit dan reda pada kira sepuluh saat kemudiannya,
"Katie Hayne hak aku sampai bila-bila, Haikal!" Dia tersenyum, melempar tin coca-cola kemik kepada bakul sampah di bawah meja belajarnya dengan sebuah laptop yang ternganga di sebelah atas meja. Di sebelah laptop, setimbun kerja-kerja assignment Theory of Modern Economics yang separuh jalan. Helaian-helaian kertas A4 yang siap ditindan dengan batu pemberat masih tetap dijajah oleh angin yang masuk, "kau akan kalah Haikal. Kalah! Kau akan kenal nanti siapa Mira nih ..." Dia tersenyum, melebar, besar-besar, seperti orang yang menang loteri.
Syarifah Amira Syed Aidad, atau Mira di bilik asramanya di Graduate House malam itu, selepas pulang dari Bourbon Bar sepicing pun tak boleh terlelap. Geram, resah, marah, gelisah, dendam, bimbang, semuanya bersatu, bergaul jadi sebati dan memantul-mantul di dalam jiwanya. Dan puncanya, Haikal, Ahmad Haikal, jantan jahanam! Dan puncanya, Katie Hayne - aku tak mungkin kehilangan kau, Mira mendengus-dengus dalam dingin pagi.
"Pisang takkan berbuah dua kali. Dan, aku Mira takkan kalah untuk kali kedua, Haikal!" Mira mencapai sebatang Dunhill dan Zippo berkulit emas, dicucuhnya pada hujung tanpa filter dan api merah pun hidup, "Katie Hayne itu Mira ... dan Mira itu Katie Hayne!" Asap rokoknya pun memenuh ruang bilik studio yang kecil itu yang disewa dengan harga 280 dolar untuk setiap minggu.
Thursday, August 30, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment