Sunday, September 2, 2007

BAB 5

"Hi Haikal! Awal pagi nih ..." sapa Mummy.

" ... " Sekilas pandangan Haikal singgah kepada Mummy yang sedang membawa satu mug yang pastinya berisi dengan air teh o kegemaran Daddy, melewati dua anak tangga menuju kepada Daddy. Kemudian anak mata Haikal melintasi Daddy yang bersantai di ruang tamu kedua, "Daddy, bila balik?" Lantas sahaja Haikal mencari tangan Daddynya, disalam dan diciuminya.

Haikal tahu, dia cukup sedar, dia manusia dengan hati syaitan. Ah, tanpa orang memanggilnya sebegitupun dia sudah teramat sedar. Dosa apa yang tak dibuatnya?

Minum arak? Ah, minuman rasmi!

Main perempuan? Hei, perempuan mana yang terlepas, Jepun, China, Amerika, dan, dan, ah, tak terbilang.

Solat? Ah ... hampir 10 tahun dia tak bersolat, kecuali Jumaat. Itupun kerana terpaksa dek leteran Mummy yang lebih lancar dari ucapan khutbah, dan selalunya dia memilih untuk tidur di rumah ketika lelaki Islam lain sedang khusyuk, atau kurang-kurangpun terlentuk mendengar khutbah khatib di Canberra Mosque.

Tetapi, untuk Daddy dan Mummy - sumpah, apa yang mereka suruh itulah Haikal yang akan cuba penuhi. Dia tak mungkin ingkar, betapa lagi menderhakai mereka. Tak mungkin! Itu prinsipnya!

"Semalam ... pukul 11 lebih!" Suara garau Daddy yang sentiasa sahaja sibuk, termasuk semalam yang terpaksa mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ada lawatan rasmi tiga hari di Sdyney. Daddy kemudiannya melipat surat khabar Canberra Times edisi hujung minggu dan mencapai mug yang baru disuakan oleh Mummy, "nak keluar? Awal betul!" Bibir Daddy kemudiannya menjadi basah dengan sisa teh o yang menjadi kemestian Daddy. Mencabut bingkai cermin mata petaknya dari pangkal telinga lantas menyoroti Haikal.

"Ada hal sikit, Daddy ..."

"Tak minum dulu? Nanti Mummy minta Bibik Supiah buatkan air milo dan roti bakar kalau nak." Sempat Mummy menjelajahi tubuh Haikal, anak keduanya dari atas-bawah-atas-bawah, jarang benar anak sayangnya bersiap awal-awal pagi begini apatah lagi kalau hari-hari cuti, Mummy tersambar dengan hairan, meskipun sedikit.

"Terima kasih Mummy! Haikal nak cepat nih, nanti Haikal balik makan tengahari aja," Haikal memberi janji. Hakikatnya dia sendiri tak pasti, mampukah dia balik tengahari nanti. Apa yang ada, yang bersarang dalam kepalanya - Mira, aku ada urusan dengan kau!

"Haikal ..." Lantas sahaja Haikal memalingkan wajahnya kepada Mummy. Ada kelembutan pada raut wajah Mummy yang sudah pun melewati angka-angka 40-an. Ada air-air yang tersisa pada rambut ikal Mummy sedang wajah Mummy seperti masih basah lagi, ah betapa Mummy tentu sahaja usai bersolat Dhuha, tebak Haikal hampir pasti.

"Mummy tak suka!" Tiba-tiba ada geruh pada wajah Mummy. Haikal meneguk air liur. Langkahnya mati tiba-tiba. Sekilas Mummy menjeling Daddy yang berhingguk-hingguk atas kerusi malas di tengah ruang tamu kedua yang serba mewah dengan set sofa kulit yang ditempah khas dari Itali, perabot-perabot kayu jati Bali dan tivi Hitachi berskrin tipis dengan buka muka 42' itu. Ada dengus-dengus dari Mummy tatkala melihat Daddy seperti tidak apa-apa, seperti tak mempedulikan dia dan Haikal.

"Jennifer!" Ada nada tegas. Ada kebencian. Haikal diasak resah sedang tapak kakinya seperti terpaku pada karpet tebal dengan corak merah yang cantik buatan tangan dari perdaerahan Esfahan, Iran.

"Walaupun kita hidup di negeri kafir, tetapi kita tetap kita, kita tetap Islam! Mummy harap Haikal faham." Haikal hanya menunduk. Untuk melawan Mummy, memang dia mampu, kalau dia mahu, pokoknya itu bukan caranya. Dengan Mummy, dengan Daddy, dia akan mengalah. Di tahu dia anak, dia tahu dia wajib patuh kepada mereka. Kemudian dia angguk, perlahan-lahan.

"Angguk ... kemudian buat lagi, kan?" Mummy menempelak lagi. Daddy buat-buat tidak dengar. Kelihatan Daddy pun bagaikan duduk tidak kena, tempias kemarahan Mummy itu seperti terkena-kena kepada Daddy juga. Langsung dia terkenang hidupnya dahulu, muda-muda, ketika usianya seperti sahaja usia Haikal sekarang. Kehidupannya sama, saling tidak tumpah seperti Haikal juga. Perempuan padanya ibarat pakaian yang ditukar-ganti setiap hari, sehinggalah dia berkahwin dengan Maryam, yang kemudian mendapat tiga cahayamata; Ahmad Hakimi, Ahmad Haikal dan Ainul Marlisa.

Kemudian suasana menjadi hening seketika, masing-masing diam; Daddy terpelosok di dalam kerusi malas yang memang memalaskan, berkelakuan seperti orang bersalah, Mummy dan Haikal terpacak bagai patung tanpa suara, lalu yang beraja hanyalah suara heater pemanas yang berlagu perlahan, "Haikal keluar dulu, Mummy!" Haikal memanggungkan wajahnya, perlahan-lahan semberi memandang Mummy dengan penuh hati-hati. Mummy masih tunak merenung Haikal rupanya, sepertimana Mummy merenungnya dulu-dulu, ketika Haikal masih kecil-kecil tatkala Haikal membuat salah. Ah, betapa Haikal menjadi sungguh takut dengan dengan renungan Mummy yang tajam begitu pada masa itu, dan kini pun tetap takut.

"Jangan lupa pulang makan tengahari," dan barulah Mummy memberikan sekuntum senyum. Cantik! Oh, Haikal menarik nafas lega. Pun, Daddy masih tetap gelisah seperti memetik kenakalan zaman mudanya yang gila wanita. Sesekali hati lelaki tua itu dimamah kepiluan, entah bila dia akan diberi secangkir insaf oleh tuhan. Usianya semakin tua, Daddy merenung ke luar, ke taman hijau yang rimbun, merenung masa lamanya.

"Ok!" Semberi seulas senyum dari Haikal. Beberapa saat setelah daun pintu tebal ditutup dan meninggalkan bunyi dentum gegar bunyi kenderaan pun bergemersiklah,

"Mira, aku ada perhitungan dengan kau!" Mentari makin panas di cucuk langir Canberra semacam panasnya hati dan perasaan Haikal yang mengejar sesuatu, Katie Hayne!

No comments: