Wednesday, September 5, 2007

BAB 6

Haikal tersambar oleh api kemarahan yang merah terbakar,

"Mira!!!" Kedebum!!! Ditendangnya pintu bilik bujang pada tingkat atas asrama Graduate House. Tak ada suara yang membalas dari balik pintu tebal.

Kedebum!!! Kali kedua, "Mira, buka pintu nih!!!" Tiada jawapan. Yang datang hanyalah suara-suara angin yang berdesir melalui laluan koridor yang bercahaya samar-samar meskipun di luar mentari semakin garang.

Haikal menanti jawapan, kalau-kalau Mira akan membuka pintu. Di dalam kotak fikirnya, kolam sanubarinya hanya ada satu persoalan - Mira, beritahu aku tentang budak itu, Katie Hayne! Tetapi, malangnya pintu itu tak terkuak walau sejengkal apatah sehasta. Tetap kaku, tetap di situ.

Seorang pemuda berbangsa kulit putih yang mungkin sahaja dari Australia sendiri, atau bangsa Eropah lain dengan lengkap berpakaian sukan dan peluh mereneh pada wajahnya yang tersambar dengan rona merah memandang Haikal dengan aneh dan Haikal merenung tajam kepada lelaki itu sedang amarahnya tetap sama, membuak pada lambung-lambung tertinggi - Mira, aku mahu Katie Hayne! Lelaki tinggi lampai itu tiba-tiba disergah ketakutan dengan renungan yang seperti mahu menerkam dari Haikal dan lekas-lekas bolos di dalam biliknya yang berselang tiga pintu dari bilik Mira. Mira? Sama; Mira yang tak keluar membuka pintu. Haikal mendengus kepanasan!

"Mira ... tolong aku, Mira!" Kali ini tiba-tiba suara Haikal terlantun rendah, seperti seorang lelaki merayu kepada kekasihnya agar jangan diucapkan selamat tinggal. Ah, begitulah beberapa gadis sebelum ini diperlakukan oleh Haikal; setelah habis madunya dihisap dan Haikal akan meninggalkan gadis-gadis manis yang menemani malam-malamnya di atas ranjang dengan tawa kepuasan. Dan gadis-gadis manis itu merayu - Haikal, tolonglah! Nah, pagi ini Haikal pula yang terpaksa merayu - Mira, tolonglah aku. Tolonglah!

Haikal terus menanti beberapa ketika lagi. Bunyi burung-burung gagak yang riuh berteriak dari pepohon rendang di luar bangunan Graduate House itu sesekali singgah ke indera dengar Haikal yang tetap sama - marah, marah dan marah, "Mira!!!" Kedebum! Ada gegar apabila pintu tebal itu ditendang penuh kudrat oleh lelaki sasa seperti Haikal.

Di dalam bilik bujang itu, Mira sedang tidur dengan nyenyak setelah semalaman tidak dapat tidur sejak balik dari Bourbon Bar. Dia begitu asyik memikirkan Katie Hayne yang baru dikenalinya minggu lepas. Dan lebih utama, dia begitu resah memikirkan bagaimana untuk menyelamatkan Katie Hayne daripada dirampas oleh jantan jahanam, Haikal. Mira sekadar tersembam menyembah meja belajar yang penuh dengan assignment yang separuh jalan. Katil bujangnya dengan cadar berceloreng bak kulit harimau terpenuh dengan dua kotak rokok yang sudah kosong sedang kain gebarnya tertendang di hujung kaki katil. Sejak tadi indera dengarnya disumbat dengan earphone yang berlagu dan terus berlagu dengan suara penyanyi kelahiran New York yang diminatinya, Cristina Aguilera.

Mujur juga! Kalau tidak kerana earphone yang berlagu dengan When You Wish Upon A Star nyanyian Cristina Aguilera itu, ah pastilah akan ada perang dunia, perang dunia ketiga. Selamat! Ya, dalam tidur yang terlalu lena dan separuh mabuk itu Mira sempat memetik bintang bersama dengan Katie Hayne. Ah, itu hanya sekadar mimpi-mimpi mainan tidur sedang di luar biliknya Haikal bagaikan orang sasau yang gila talak. Mira, buka pintu! Mira, buka pintu!

"Sial betul betina nih!!!" Dan buat kali terakhir satu tendangan kuat menjadi milik pintu tebal. Ada gempar. Ada gegar. Sedang di dalam jiwa Haikal ada rusuh, ada amarah yang membuak-buak tanpa mampu disejukkan oleh dingin musim sejuk yang sudah benar-benar di penghujung musim.

Beberapa ketika, ada ngauman yang ditinggalkan oleh BMW 328i Sport Steptronic enam kelajuan warna hitam pekat dengan pemandunya yang kemarahan beraja-raja, Haikal. Dari Garran Road, memecut ke tengah City of Canberra dengan kelajuan yang maksimum, mengambil jalan Northbourne Avenue melewati jambatan Commonwealth Avenue Bridge dan membelok ke kiri - Acton Park!

"Tuhan ... mana Katie Hayne?" Haikal mengetuk-ngetuk stereng kereta mewah dengan rim mahal 17 inci itu. Ah, buat julung-julung kali Haikal kesasau kerana seorang makhluk bernama wanita. Dan buat julung-julungnya kalinya juga Haikal menyebut nama Tuhan. Ah, betapa anehnya lelaki yang bernama Haikal kali ini, kerana gadis ayu yang serba istimewa; Katie Hayne.

Haikal merenung ke tengah Lake Burley Griffin yang tampak cerah dipanah oleh mentari pagi, Haikal tersenyum tanpa sebab. Dan kemudian dia ketawa kecil, "Katie Hayne ... tiba-tiba aku jadi gila kerana kau. Aneh betul ..." Haikal bersuara sendirian dari dalam kereta mewah dengan kerusi empuk yang dibalut dengan kulit mewah. Dibukanya sedikit cermin di kiri dan kanan pemandu dan berderu-derulah angin tasik menyerbu masuk sambil menyejukkan hatinya yang terlalu panas tadi.

"Katie Hayne!!!" Haikal menjerit sekuat hati, betul-betul di pinggir tasik beberapa langkah dari BMW mewahnya yang masih ternganga pintu keretanya. Beberapa kumpulan burung yang terdiri dari Meliphaga paruh-kuning, atau Meliphaga Flavirictus dan Petohui Jambul, atau Petohui Cristatus berterbangan ketakutan, jauh-jauh ke seberang Lake Burley Griffin di sebelah City of Canberra.

Dan di luar kesedaran Haikal, di seberang sebelah sini Lake Burley Griffin, di sebelah City of Canberra, betul-betul setentang dengan tempat Haikal seorang gadis ayu menjerit nama Haikal. Dan gadis itu keresahan, sama seperti Haikal. Dan gadis itu adalah Katie Hayne. Ya, Tuhan seperti sengaja meletakkan Lake Burley Griffin itu sebagai pemisah antara dua hati mereka. Ah, takdir Tuhan, betapalah makhluk kerdil bernama manusia bisa menentang dan mengubah ketentuannya.

Mentari terus menjinggakan perdaerahan Canberra, angin tasik terus bertiup dengan sesekali deru-deru kuat dan kadang-kadang pula sepoi-sepoi, dan dua hati yang terpisah oleh tasik biru; hati-hati Haikal dan Katie Hayne benar-benar diselimuti oleh keresahan, kerinduan, rindu pandang pertama!

No comments: